Abang Hafizul dan NOTE-nya!
— posted on March 15, 2012 2:46 PM
Share this to
[caption id="attachment_2564" align="alignnone" width="540" caption="Kalau anda seorang yg berbakat, lukislah atas apapun, semua jadi!"][/caption]
Ulasan Samsung Galaxy NOTE di bawah adalah hasil nukilan salah seorang ahli organisasi kami, Abang Hafizul. Sudah lama beliau meminta saya meletakkan ulasan ini di dalam blog tetapi oleh kerana ulasan beliau penuh dengan perkataan-perkataan comel yang bakal mengujakan sesetengah pihak, saya terpaksa tapis sedikit. Silakan terus membaca.
Setelah menggunakan Samsung Galaxy Note selama lebih sebulan, ini pendapat saya:
- Sangat berpuas hati dengan paparan dan kelajuan pemproses Note. Atau mungkin sebab ini kali pertama menggunakan telefon pintar, jadi kelajuan yang ada pada Note amat mengujakan saya.
- Sebab utama saya memilih peranti ini sebagai telefon saya adalah S pen. Sebagai pereka grafik ia membantu saya untuk melukis bila-bila dan di mana-mana. Bagaimanapun:
- S pen terlalu kecil. Walaupun begitu, kerana saya agak berbakat, ia memadai.
- Bila menggunakan S pen dalam aplikasi S memo, tindak balasnya sedikit lambat dan kurang jitu. Secara peribadi, ia kurang sesuai untuk aktiviti melukis.
- Dalam menggunakan aplikasi Sketchbook Mobile, kelajuan agak baik. Ini mungkin bermaksud kita memerlukan sedikit masa dan latihan untuk menyesuaikan diri menggunakan S pen pada paparan Note. Contoh lukisan saya menggunakan peranti ini boleh anda lihat di atas. Comel bukan?
- Secara dasarnya, S pen adalah sesuatu yang agak berguna terutama untuk insan-insan bertangan bakat seperti saya.
- Kamera yang terdapat pada Note tidak mengecewakan malah kualiti yang diberikan sangat jelas dan video juga pada resolusi yang tinggi.
- Secara purata, bateri pada Note perlu dicas sehari sekali. Tetapi bila saya menggunakan aplikasi tertentu (lebih-lebih lagi untuk melukis), jangka hayat bateri adalah lebih pendek.
- Oh, dan sistem audio Galaxy Note pada saya adalah baik.
- Saiz Note, seperti yang anda ketahui adalah agak besar dan kadangkala sukar untuk menyimpannya di dalam kocek(walaupun saya tidak pernah gagal melakukannya). Bila di dalam seluar, pergerakan kita juga agak terbatas dan kadangkala perlu bantuan orang ramai untuk mengangkat barang di lantai. Apapun, bila ia berada di tangan ketika saya menjawab telefon, Note kelihatan agak hebat, mewah dan sempurna pada mata-mata si gadis.
Share this to