Pengenalan Rekaan UI dan UX
Share this to
Seringkali kita mendengar atau ternampak perkataan Rekaan UI & UX (UI & UX Design) digunapakai dalam perbualan harian, perbincangan dikalangan komuniti pereka dan programmer, atau penulisan secara online seperti di laman Facebook dan blog.
Seperti yang ramai sedia maklum, Rekaan UI & UX lazimnya melibatkan rekaan atau pembangunan sesebuah laman sesawang (website) dan aplikasi mudah alih (mobile apps).
Tapi apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan Rekaan UI & UX?
Kali ini, kami di Terato Tech akan membuat sedikit perkongsian tentang pengenalan kepada topik ini.
1. Memahami maksud “Rekaan UI & UX”.
Rekaan UI & UX terdiri dari dua perkataan yang berbeza, iaitu User Interface (UI) dan User Experience (UX). Kedua-dua ini mewakili dua cabang kepakaran yang berbeza, tetapi saling berkait rapat antara satu sama lain. Untuk memahami lebih lanjut mengenai UI & UX, kita perlu tahu apakah peranan setiap kepakaran ini
2. User Interface (UI)
User Interface atau UI lebih fokus kepada reka bentuk atau paparan grafik pada sesebuah produk digital (website & mobile apps). Ia adalah gabungan elemen-elemen grafik yang dipadankan dalam menghasilkan sesuatu reka bentuk produk digital. Dalam erti ringkas, User Interface (UI) adalah rupa luaran sesebuah laman sesawang (website) atau aplikasi mudah alih (mobile apps).
3. User Experience (UX)
User Experience atau UX pula lebih fokus kepada cara penggunaan atau kemudahan menggunakan sesebuah produk. Tugas pereka UX adalah untuk memastikan sesebuah produk digital itu senang difahami dan digunakan oleh pengguna. Ia melibatkan banyak proses kajian, temu bual bersama pengguna dan kefahaman secara teori dan praktikal. Dalam erti ringkas, User Experience (UX) adalah rangka perjalanan dan penggunaan sesebuah laman sesawang (website) atau aplikasi mudah alih (mobile apps).
4. Rekaan UI & UX
Konklusinya, User Interface (UI) adalah rupa luaran sesuatu produk. Manakala, User Experience (UX) adalah fungsi dan kemudahan dalam mengedalikan sesuatu produk itu.
Walaupun terma UI dan UX ini sering digandingkan bersama, namun ia adalah dua kepakaran yang berbeza. Kedua-dua kepakaran ini memainkan peranan berbeza dan saling memerlukan dalam membangunkan sesebuah produk digital.
“Sesebuah aplikasi yang kelihatan menarik tetapi sukar digunakan adalah contoh yang baik untuk mengggambarkan sesebuah UI yang bagus, tetapi UX yang tidak bagus.
Manakala aplikasi yang mudah digunakan tetapi tidak mempunya reka bentuk yang menarik adalah sebaliknya, ia mempunya UX yang bagus, tetapi UI yang tidak bagus.”
Share this to